Sunday, September 2, 2012

Konvoi Kenduri Kelantan - 31 Ogos 2012

Bertolak dari Pulau Pinang pukul 8 pagi. Kaklong dan Kakngah awal-awal dah telan ubat, kalau tak makan ubat alamatnya muntah sepanjang jalan, lembik tubuh badan.  Mujurnya Puteri Bongsu lasak bila berjalan jauh.  Kakngah terpaksa duduk di hadapan untuk mengelakkan dia pening.

Kami melalui lebuhraya dari Butterworth ke Gerik. Kereta banyak di jalanan.  Alhamdulillah, cuaca baik minggu ini. Kalau minggu lepas asyik hujan saja.  Sebenarnya kami pergi 4 kereta tapi kami terpaksa tinggalkan 3 kereta lagi kerana mereka bertolak lambat.   Lagipun kami bercadang nak singgah di rumah kawan Kaklong di Tanah Merah.

Kami cuma berhenti di R&R Perah untuk makan roti canai dan minum kopi. Dah lapar balik sebab breakfast tadi awal sangat. Pukul 7 dah makan roti dengan scramble egg. Sekejap ajer perut minta diisi semula. Kami meneruskan perjalanan yang berliku turun-naik Banjaran Titiwangsa sehinggalah kami tiba di rumah Wana di Tanah Merah tepat jam 1.30 tengah hari.  Waktu tu dari masjid berdekatan rumahnya kedengaran khatib sedang membaca khutbah Jumaat.  Wana merupakan kawan baik Kaklong di MMU selama 3 tahun.  Kami dijamu bihun goreng, kuih raya, koci Kelantan (inti kacang merah), kuih lompat tikam (warna hijau, merah dan kuning), cendul (cendul ni colorful sebab dicampur sago berwarna-warni juga, something different from Penang's cendul), buah rambutan dan buah salak. Masyaallah macamana nak makan, banyak sangat makanan. Begitu besar hatinya Wana dan emaknya meraikan kami.

Dengan penuh syukur setelah perut kenyang kami pun bertolak ke Kota Bharu. Check-in di Hotel Raudhah yang terletak di Jalan Maju. Kami menginap di family room yang ada 2 double bed.  Kemudahan bilik mempunyai aircond, hot shower, mini refrigerator, mini TV (ada siaran RTM dan TV 3 jer), ada kemudahan bancuh kopi, tuala mandi dan sabun.  Perabut banyak yang dah lusuh. Pintu bilik dan bilik air pun dah kembang, kena tolak  kuat-kuat barulah pintu dapat ditutup.  Tapi bersih le juga. Oklah untuk tujuan mandi dan tidur aja.  Kenalah minta tilam extra sebab kami berlima.

Selepas mandi-manda dan solat, kami terus keluar untuk cari kedai makan.  Susahnya nak cari kedai makan, semua tutup.  Rupanya hari Jumaat memang kedai makan di Kelantan dibuka lambat.  Dekat pukul 5 petang barulah kami jumpa satu restoran yang dibuka. Jangan cerewet, janji perut yang dah berbunyi dapat diisi.

Tokngah Kelate (kiri) bersama kakaknya Tokcak Penang (tengah) dan adiknya Toksu Penang (kanan)

Kemudiannya kami bertolak ke rumah emak saudara Abah, Tokngah Kelate yang terletak di Chempaka (dalam kawasan Panji).  Berhimpunlah kami beramai-ramai sambil menjamah baki kuih raya.  Selepas maghrib kami berpecah. Aku, Abah dan anak-anak pergi ke Pantai Cahaya Bulan (PCB), bukan ada apa pun, cuma memandang ke laut yang gelap. Ada ahli rombongan yang masih bertenaga nak meronda di pasar malam Wakaf Che Yeh. Para warga emas pula dah mengantuk dan nampak katil ajer.

Refleksi cahaya bulan di permukaan laut dilihat dari PCB

Selepas puas lepak di PCB, kami pergi makan malam di Restoran Ayam Percik Yati di Jalan Long Yunus. Ramainya pelanggan walaupun jam sudah pukul 10 malam. Kami makan nasi putih dengan ayam percik dan daging masak kawah.  Sedappp. Patutlah kedai ni ramai pelanggan, makanannya enak.  Bila perut dah kenyang, mata pun jadi berat sangat. Apalagi ... tak sabar-sabar kami pulang ke hotel!!

No comments: