Sunday, January 15, 2012

Juadah Petang Ini




Sudah lama sungguh tak makan ubi rebus.  Tiba-tiba rasa teringin sangat nak makan ubi rebus. Mujur jumpa di market pagi ni. Ubi kayu dah jadi makanan exclusive, harga dah mahal sangat, 2 ketul ubi sebesar penumbuk Abah harganya sampai RM2.40.  Dulu dapat free bila Arwah Apak cabut pokok ubi yang ditanam di belakang rumah. Makan le puas-puas ... nak rebus, buat bengkang,  lepat, serawa (pengat), goreng, kerepek dan macam-macam lagi, ikut kreativiti Emak.

Semenjak ubi kayu jadi hidangan istimewa di hotel-hotel (menu hi-tea), harganya melambung tinggi.  Tapi orang kita pun dah semakin lemak, malas nak tanam sendiri!!!  Ehhh ... bukan malaslah. Tapi nak tanam di mana? Tanah pun tak ada di depan atau di belakang rumah. Semua simen ajer .... hrmmmm.


Kedua-dua ketul ubi tu aku rebus aje sampai empuk dan gebu. Bubuh garam sikit. Makan dengan kelapa parut dicampur gula.  Dan curah sikit misan nipah.

 

Apa itu misan nipah???  Misan nipah ialah air nira nipah yang jernih dimasak dengan api yang kuat sehingga menjadi pekat dan bertukar warna menjadi coklat tua.  Rasanya manis dan ada sedikit rasa masam dan kelat.   Sebenarnya aku sudah terjumpa misan nipah ni agak lama. Setiap kali singgah membeli jagung dan kopi kampung di gerai-gerai tepi jalan di sepanjang jalan utama Gurun, mesti aku ternampak botol-botol berisi misan nipah. Tetapi aku tidak pasti kegunaannya sehinggalah aku bertanya kepada penjual di sana. Menurut penjual tersebu,t misan nipah sedap dimakan bersama cendul, ubi kayu rebus, pisang rebus, malahan roti atau pulut.  Jadi untuk menghilangkan perasaan ingin tahu, aku membeli sebotol. Harganya tak mahal sangat, RM8.00 aje sebotol. Berpadananlah dengan dengan penat-lelah pakcik yang mengumpul nira dan seterusnya memasak nira tersebut dengan agak lama sehingga menjadi misan yang pekat.

Tunggu apa lagi?  Jum makan.  Mulakan dengan Bismillah ....

No comments: