Tuesday, November 22, 2011

Yeaaa .... Kita Menang


Lega dan bangga. Itulah perasaan aku setelah tamat permainan semalam.  Macamana tak lega, lebih 2 jam jantung aku bergerak kencang ....dup dup dup.  Perut terasa senak teramat.  Tak pasti pula berapa bacaan tekanan darah sepanjang tempoh permainan tersebut.  Memang mendebarkan sehingga ada ketikanya aku tidak mampu lagi menanggung ledakan adrenalin yang menyebabkan aku masuk ke bilik tidur dan pura-pura membaca majalah.  Tetapi suara riuh Abah dan anak-anak menyebabkan aku kembali mengadap TV.

Akhirnya Malaysia menang 4-3 menerusi tendangan penalti setelah terikat seri 1-1 sepanjang 120 minit permainan.  Pemain Malaysia terus gah walaupun menerima tekanan yang bukan sedikit akibat diganggu peminat fanatik Indonesia di luar dan di dalam Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.  Kesiannya mereka terpaksa diangkut dengan Baracuda (kereta perisai tentera Indonesia) untuk keluar dan masuk stadium.  Malah penyokong Malaysia juga terpaksa diberi kawalan rapi oleh pihak berkuasa Indonesia untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.  Bayangkan betapa 100,000 penyokong Indonesia memberi sokongan padu kepada pasukan mereka dan mengejek pasukan Malaysia. Mungkin sorakan dan ejekan itulah yang membakar semangat pemain-pemain Malaysia untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di stadium tersebut. Syabas.

Kemenangan ini memberikan Malaysia pingat emas ke-59 bagi sukan SEA ke-26 yang dihoskan oleh Indonesia.  

Sememangnya kita wajar berbangga dengan kemenangan ini serta kemenangan peserta-peserta olahraga, berbasikal trek, renang berirama, menembak, luncur air dan acara-acara sukan yang lain yang berjaya meletakkan Malaysia di tangga ke-4 selepas Indonesia, Thailand dan Vietnam.  Syabas sekali lagi.

No comments: