Wednesday, November 16, 2011

Laluan Baru Simpang Pulai - Cameron Highland - Raub

Laluan 2 lorong menyusuri lereng bukit
Aku mendapat maklumat mengenai ujudnya laluan baru ini setelah melayari Google.  Belum ramai orang yang tahu tentang laluan ini, agaknya kerana laluan ini belum digazet.

Memandangkan ini kali pertama aku hendak ke Raub, aku perlu membuat kajian mengenai laluan mana yang perlu diambil dari Pulau Pinang ... yang pastinya laluan tersebut mestilah cepat, selamat, selesa dan menjimatkan.  Inilah jasa perkembangan teknologi, semuanya jadi mudah. Google aje, semua maklumat terbentang depan mata. Terpulanglah kepada diri sendiri menilai dan membuat pilihan.  

Akhirnya aku mendapat 4 laluan alternatif :-

1.   dari Pulau Pinang exit Lebuhraya di Simpang Pulai menuju Cameron Highland.  Terus ke Ringlet, ambil simpang kiri ke arah Lembah Bertam dan terus memandu laluan baru merentasi Pos Betau sehingga ke Sungai Koyan.  Dari Sungai Koyan ambil simpang arah kanan menuju ke Raub.

2.  dari Pulau Pinang exit Lebuhraya di Simpang Pulai menuju Cameron Highland.  Setibanya di  Kampung Raja terus bergerak ke arah Gua Musang.  Di persimpangan Gua Musang, ambil arah ke Kuala Lipis terus bergerak dan ambil arah ke Raub.

3.  dari Pulau Pinang exit Lebuhraya di Tanjung Malim, bergerak menuju ke Kuala Kubu Baru, mendaki Bukit Fraser, turun Bukit Fraser dan memandu terus ke arah Raub.

4.  dari Pulau Pinang exit di Lebuhraya arah Kuantan memasuki Karak Highway. Exit Lebuhraya di arah Bentong-Raub.

Setelah ditimbang kati dan tahilnya, aku memilih alternatif 1.  Ini perjalanan paling cepat dan menjimatkan dari Pulau Pinang.  Jarak perjalanan adalah lebihkurang 700 km, tol yang perlu dibayar hanya RM37.20 dan minyak pula tidak sampai pun RM100.00.

Laluan Ringlet ke Sungai Koyan menawarkan pemandangan alam semulajadi yang menghijau.  Kenderaan yang lalulalang juga tidak begitu banyak (mungkin kerana aku menggunakan laluan ini bukan pada hujung minggu). Had laju yang dibenarkan hanya 50 km/jam.  Pemanduan perlu berhati-hati kerana di kebanyakan tempat mempunyai selekoh yang tajam dan apabila cuaca kurang baik, kabus juga mungkin menghalang jarak pandangan. Terdapat  kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan lereng dan kon penanda telah diletakkan di kawasan tersebut.

Banjaran berbalam-balam mengasyikkan pemandangan

Pemanduan selesa dan aman kerana tidak banyak kenderaan
Kualiti jalan juga boleh tahan, cuma terdapat beberapa  kawasan yang diturap dengan simen dan sebahagian lagi dengan tar.  Dengan kelajuan antara 60 hingga 80 km/jam (maaf kekadang aku memandu tanpa sedar terlajak laju di kawasan yang agak lurus ... alasan untuk mengelak rasa bersalah), masa diambil adalah kira-kira 1 jam 30 minit untuk perjalanan antara Sungai Koyan dan Ringlet.

Cubalah .... satu pengalaman baru yang menarik. 

No comments: