Thursday, November 17, 2011

Dinginnya Fraser Hill

Petang yang dingin dan berkabus
Setibanya kami di Raub, aku terpandang papan tanda menunjuk ke arah Fraser Hill, yang jauhnya hanya 39 km sahaja dari Raub.  Ahhh .... dah dekat sangat, apa kata kita bermalam di sana sahaja malam ini.  Abah bersetuju.  Ini merupakan kali pertama kami berdua berkunjung kebukit peranginan ini.

Walaupun jaraknya dekat tetapi kami mengambil masa hampir 1 jam untuk sampai ke puncak. Jalannya bengkang-bengkok bagaikan ular dipalu.  Selekohnya tajam dan rapat antara satu sama lain. Aku menjadi pening dan hampir saja termuntah.  Setibanya di Pekan Fraser Hill, kami mula meninjau-ninjau tempat penginapan yang terdapat di sana. Akhirnya kami memilih Shahzan Inn, sebuah hotel 3 bintang yang terletak di atas bukit berhampiran pekan.  Bilik kami mengadap ke arah Fraser Hill Golf Club.  Memandangkan kami menginap pada hari biasa, kadar bilik dikurangkan sebanyak 50%.

Tatkala memandang keluar dari balkoni bilik, keletihan yang tadi melemahkan semangat aku, segera terbang entah ke mana.  Fraser Hill memang indah dan penuh nyaman. Udaranya bersih tanpa pencemaran.  Alam sekitarnya masih dipenuhi kayu-kayan dan paku-pakis yang menghijau tanpa pencerobohan alam yang rakus.  Suasana ini amat berbeza dengan Cameron Highland yang sudah hilang keindahannya.  Bukit di Cameron Highland sudah hilang kehijauannya diganti dengan ratusan binaan plastik milik pekebun sayur (dari jauh kelihatannya seperti deretan keranda putih).

Deretan "keranda putih" menghiasi bukit-bukit di Cameron Highland
Hutan yang masih terjaga baik menggamit minat "forest trekker"
Keesukan paginya aku dan Abah mengambil peluang menjelajah ke seluruh kawasan bukit peranginan tersebut. Bunga-bunga sedang berkembang mekar. Kabus yang dingin menyelimuti bukit setinggi 1,500 meter dari aras laut memberikan suasana sungguh menyamankan.  Paling gembira aku masih dapat mendengar bunyi unggas bersahutan dari hutan di persekitaran.  Bangunan-bangunan lama dengan binaan ala kolonial (tahun 1919) masih dipelihara dengan baik dan berfungsi sepenuhnya dengan dijadikan sebagai Balai Polis dan Pejabat Pos.

Bangunan kolonial yang cantik senibinanya
Bunga-bunga cantik berkembang memukau mata
Satu fakta yang mengejutkan aku, rupanya Fraser Hill milik bersama Negeri Pahang dan Negeri Selangor.  Sepanjnag berada di kawasan pekan Fraser Hill, jelas kelihatan ianya berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Raub.  Bagaimanapun apabila kami pergi ke satu kawasan di pinggir bukit tersebut, kami terjumpa sebuah sekolah cina dan empangan di bawah seliaan kerajaan Negeri Selangor. Ohhh ... lemahnya pengetahuan geografi aku.

Perjalanan turun dari Fraser Hill ke Raub lebih menenangkan. Abah hanya perlu menjaga brek dan mengawal stereng mengikut lengkok kiri dan kanan jalan menurun yang agak sempit.  Dan semakin kami menghampiri Raub, kelihatan banyak buah durian yang bergayut di pokok yang ditanam di pinggir bukit berhampiran jalanraya. Wah, beberapa minggu lagi penduduk Raub akan berpesta dengan duriannya.

No comments: