Sunday, May 8, 2011

Gganu Lagi

30 April 2011

Semua anak-anak bangun seawal 4.00 pagi dan kami memulakan perjalanan tepat jam 4.45 pagi. Seawal pagi begitu, jalan tidak juga lengang. Banyak kereta dan bas ekspress bergerak pergi dan balik di laluan Jalanraya Timur-Barat ketika itu. Kami berhenti untuk solat subuh di R&R berhampiran Pangkalan Hulu. Jam 8.00 pagi kami singgah makan nasi berlauk di sebuah gerai di tepi jalan berhampiran Jeli. Kak Long diserang penyakit angin. Walaupun dia lapar, dia tidak mampu makan. Sepanjang 4 jam perjalanan, sudah 3 kali dia muntah.

Kami memasuki laluan Pasir Puteh menuju ke arah Kuala Trengganu. Tiba di Bandar Permaisuri, kami mengambil laluan arah jalan pantai. Di sini kami singgah sebentar di Pantai Penarik yang memang menarik pemandangannya untuk menjamu mata menikmati keindahan alam semula jadi. Maha Suci Allah yang mencipta alam yang begitu indah dan mendamaikan setiap hati yang memandangnya.

Kami seterusnya singgah di Merang untuk makan tengah hari. Masakan yang pelbagai membuatkan kami rambang mata untuk membuat pilihan. Tetapi nyata sekali tukang masak restoran ini sukakan masakan pedas ... semua lauknya pedas belaka!!!

Pada jam 2.00 petang kami tiba di Hotel xxx Kuala Trengganu. Kami dimaklumkan bahawa bilik masih belum sedia. Kami diminta bersabar. Aku dan anak-anak mengambil peluang memakan keropok dan jeruk-jeruk yang kami bawa bagi membuang kebosanan terpaksa menunggu. Bersama-sama kami terdapat 5 keluarga lain yang juga terpaksa menunggu bilik masing-masing. Tetapi apabila jam menunjukkan pukul 3.15 petang, kesabaranku mulai hilang. Maklumlah tempahan bilik ini telah dibuat 2 minggu lepas. Selain dari itu kami begitu letih setelah hampir 12 jam berjaga dan melalui perjalanan yang jauh.

Hanya pada jam 3.30 petang barulah kami beroleh bilik pertama untuk anak-anak. Bilik untuk aku dan Abah hanya diperolehi kira-kira 1 jam kemudian. Huh ... memang terbakar rasa hati. Tetapi aku amat menghargai professionalism petugas kaunter yang tetap tersenyum dan tidak berhenti-henti memohon maaf atas kesulitan yang kami hadapi. Pihak 'house-keeping' perlu lebih cekap mengatasi masalah menyediakan bilik untuk pelangggan.

Selepas membersihkan diri dan berehat sebentar kami bertolak ke Pantai Kelulut Marang untuk menikmati makan malam. Kami menjamu selera dengan nasi goreng, ikan celup tepung dan sotong celup tepung. Nyummy!!! Dalam perjalanan pulang ke hotel kami membeli pula sata yang amat diidamkan oleh anak-anak ku. Sayang sekali, sata ini tidak mampu menyaingi keenakan sata di Restoran Aziz Sata di Kampung Geliga Kemaman. Untuk pergi ke Kemaman ... fuh perjalanannya jauh sangat. Jadi tak ada rotan, akar pun berguna. Makan ajelah.

Pada malam harinya kami berjalan kaki menyusuri Waterfront untuk menikmati keindahan malam di Bandar Kuala Trengganu. Cahaya lampu yang cerah dan pelbagai bentuk, sepoi bayu malam dan kebersihan sungai yang mengalir menyebabkan kami tidak terasa sudah melepak hampir 2 jam di sana.

No comments: