Thursday, December 23, 2010

Sedih Tapi Redha

Awal-awal lagi aku sudah dapat mengagak. Keputusannya pasti kurang memberansangkan. Sebabnya ... dia kurang fokus pada pelajaran. Selalu aje merungut .. penat belajar, meluat dekat subjek itu dan ini, tak suka pada cikgu itu dan ini. Malah keputusan peperiksaan percubaannya juga sangat teruk, hingga aku tak berselera menjamah makanan sehari-suntuk selepas melihat keputusan tersebut.

Tetapi aku tidak pernah putus asa. Aku usahakan juga agar dia meneruskan tusyen dengan guru yang tidak disukainya, kerana aku tahu guru ini mempunyai rekod mengajar yang bagus. Aku beri kata-kata semangat dan selalu mencabarnya untuk mendapat keputusan yang terbaik. Cuba atasi rekod Kak Long yang mendapat 7A semasa PMR. Aku terangkan betapa pentingnya pelajaran dalam hidup, untuk menjamin kecemerlangan masa depan.

Aku juga tidak berhenti menadahkan tangan kepada Allah memohon bantuanNya. Supaya anak ini menjadi anak yang sempurna hidupnya di dunia dan akhirat.

Hari ini keputusan PMR pun keluar. Hanya mampu aku menarik nafas lega dan bersyukur kerana dia lulus semua mata pelajaran. Tetapi sayang, keputusan peperiksaannya jauh dari memuaskan hatiku. tak ada yang dapat dibanggakan melihat huruf B dan C beratur pada slip PMR tersebut.

Semoga dibukakan pintu hati anak ini supaya berubah sikap apabila masuk ke Tingkatan 4 kelak. Aku tidak mahu dia kecundang dalam SPM kelak.

No comments: