Wednesday, October 6, 2010

PMR Untuk Puteri Bongsu

Hari ini hari ke-2 PMR. Puteri Bongsu nampak bersemangat untuk menghadapi peperiksaan ini. Semua pakaian dan perkakasan peperiksaan telah siap semenjak hari Ahad lagi.

Semalam hari pertama adalah peperiksaan bagi kertas Bahasa Melayu dan Pengajian Islam. Hari ini Bahasa Inggeris dan Geografi. Aku berdoa siang dan malam semoga Puteri Bongsu dapat menghadapi peperiksaan ini dengan tenang dan dapat menjawab semua soalan dengan baik. Dia telah berusaha, aku dan Abah juga telah berusaha sebagai ibu dan bapa, selebihnya kami serahkan kepada Allah swt.

Semalam, Puteri Bongsu buat perangai. Dia mengeluarkan semua kertas soalan Bahasa Melayu dan Pengajian Islam dan meminta aku dan kakak-kakaknya menyemak jawapan. Kami enggan berbuat demikian. "Jangan adik .. yang dah lepas biarkan lepas, kita tunggu aje keputusannya nanti. Sekarang ini .. adik tumpu untuk peperiksaan esuk , lusa dan seterusnya. Nanti kalau adik tengok banyak jawapan betul, adik jadi over-confident. Kalau banyak jawapan salah, nanti adik jadi frust dan tak ada mood nak jawab kertas yang lain". Aku berhujah memujuknya. Mukanya masam saja, tentunya marah kepada aku dan kakak-kakaknya kerana tidak mahu bekerjasama menyemak jawapannya.

Ya Allah Ya Tuhan ku, aku memohon bantuanMu Ya Allah, peliharalah zuriat ku ini. Berikanlah dia kemudahan menghadapi peperiksaan ini, terangkanlah hatinya, kurniakan dengan kepintaran berfikir. Semoga dia berjaya mendapat keputusan cemerlang. Jauhilah dia dari rasa cemas dan resah menghadapi peperiksaan ini. Semoga dia menjadi anak cemerlang hidupnya di dunia dan akhirat. Ameen

No comments: