Saturday, September 25, 2010

Tekanan Perasaan

Sesekali aku takut ... membayangkan bagaimanakah aku mengakhiri hayatku, dalam kesakitankah, kelemasankah, kepanasankah?? Perasaan ini amat menakutkan .. nafas ku seakan-akan mahu semput, ada jerutan pada pertengahan dadaku, berpeluh-peluh rasa tubuh.

Aku jadi gelisah!!! Bayangan Allahyarhamah Midah di saat akhir hayatnya dalam keadaan lemas bernafas masih terbayang-bayang di mata. Aku jadi murung ... tak ada mood nak makan, tak ada mood nak berbual, tak ada mood segalanya. Sesekali aku menangis terkenangkan Allahyarhamah .. terasa rindu pada suara dan gelak ketawanya. Lebih parah, setiap malam tidurku terganggu. Aku sukar melelapkan mata apabila perasaan cemas melanda semula.

Abah cepat mengesan perubahanku. Dia meminta aku jangan terlalu mengikut perasaan. Aku mesti menerima kenyataan bahawa yang pergi telah pun pergi. Kita yang masih bernafas ini perlu meneruskan hidup dengan memandang ke hadapan.

Aku mula mendapat kesan fizikal dari tekanan tersebut. Seluruh kepala ku berat dan berdenyut-denyut. Bahu, belakang dan dadaku sakit. Ohhh Tuhan ... janganlah aku mendapat penyakit jantung pulak. Aku mesti segera bertindak. Aku segera bertemu doktor. Bacaan tekanan darah kali pertama 160/100, hari ke-2 menurun kepada 145/100. Doktor turut risau dan memberi aku pelbagai ubat. Aku dinasihatkan untuk belajar mengawal emosi.

Apabila tidut tertanggu, aku melakukan qiamulail dengan mendirikan solat tahajud, taubat dan sunat. Aku membaca surah Yaasin. Aku membaca pelbagai doa dari buku-buku agama yang selama ini jarang ku sentuh. Aku berdoa bersungguh-sungguh memohon bantuan Allah untuk menenangkan semula hatiku, melapangkan dadaku, menguatkan imanku, menjauhi aku dari keluh-kesah, melindungi aku dari gangguan syaitan yang dilaknatkan.

Aku juga mengaambil langkah keluar dari rumah dan bergaul dengan teman-teman. Aku pergi ke pejabat lama berjumpa bekas rakan pejabat. Aku ke masjid bertemu rakan-rakan jemaah. aku bertemu dengan jiran-jiran wanitaku. Dengan berbual meluah perasaan dan bergelak ketawa, sebahagian dari beban tekanan perasaan ku melurut jatuh. Teman-teman banyak memberi peransang.

Kini setelah genap seminggu kehilangan Allahyarhamah, aku telah semakin pulih. bacaan tekanan darah ku menurun kepada 130/90 sahaja. Aku telah dapat menikmati tidur malam yang tidak terganggu. Walau bagaimanapun, aku bertekad untuk meneruskan amalanku. Mungkin pemergian Allahyarhamah membawa hikmahnya tersendiri .. untuk aku mengingati mati dan bersedia ke arahnya dan berusaha untuk lebih hampir kepada Allah untuk mendapatkan bantuan dan memohon rahmatNya.

No comments: