Tuesday, August 3, 2010

Penangan Pukau

Syyyyyyy............ini satu rahsia yang telah begitu lama tersimpan. Hampir 15 tahun yang lalu. Tiada siapa pun tahu rahsia ini, sebab aku merasa malu pada diri sendiri untuk menceritakan pengalaman pahit ini.

Hari itu aku tidak bekerja. Aku tidak ingat kenapa aku bercuti hari itu..mungkin untuk membeli-belah agaknya. Pagi itu kira-kira jam 10 atau 11 pagi, aku berkunjung ke Pakson yang terletak di Kompleks Bas Butterworth (kompleks ini telah musnah dalam kebakaran pada tahun 2001). Sedang aku membelek-belek barangan yang tersusun di rak pakaian kanak-kanak, aku terasa bahu ku dicuit dari belakang. Aku segera berpaling dan melihat seorang lelaki berdiri berhampiranku. Lelaki pertengahan umur, berbadan kecil dan berkulit gelap itu segera memberi salam kepada ku (aku sebut dia sebagai X - lihat!!! rasa marah aku kepadanya menyebabkan aku masih ingat lagi sedikit sebanyak perawakan X ini). Aku dengan perasaan serba-salah menjawab salam itu. X mengajak aku mengikutnya. Aku menolak pelawaannya. Tetapi dia tidak berputus-asa, segera dia menunjukkan kepada ku sebiji batu berwarna gelap kepada ku, katanya ini batu geliga ajaib. Dari penglihatan kasarnya aku mempunyai penyakit serius. Dengan menggunakan batu ajaib tersebut, penyakitku pasti akan lega. X mengajak ku pergi minum di kedai berhampiran untuk menunjukkan khasiat batu tersebut.

Hati ku berkata "jangan, jangan"....tetapi anehnya kaki ku mengikut sahaja langkah X. Di kedai tersebut, dia memesan minuman dan secawan air kosong. Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang sama usia dengannya datang duduk bersama kami. Aku pasti dia ini adalah kawan X (aku sebut dia sebagai Y).

Y memasukkan sebiji batu putih ke dalam cawan yang juga kebetulan berwarna putih. Dia menggoyang-goyangkan cawan tersebut seolah-olah memastikan air dan batu tadi menjadi sebati. Dia menunjukkan kepada ku..sah, tiada sebarang perubahan warna. Dia meminta aku mengacau air bercampur batu tadi dengan jari hantu sebelah kanan. Tiba-tiba saja air tersebut bertukar menjadi kuning..terus kepada coklat dan akhir sekali hitam. Aku menjadi panik dan ketakutan. Menurut Y itu tandanya dalam tubuh badan ku ada penyakit yang sangat merbahaya dan perlu dirawat segera.

X segera mententeramkan aku, katanya jangan takut, batu geliga yang ada padanya mampu menghilangkan semua penyakit. Dia memasukkan batu geliga berwarna gelap ke dalam cawan itu dan meminta aku mengacaunya sekali lagi. Secara perlahan-lahan air di dalam cawan itu bertukar menjadi jernih semula. X dan Y memujuk aku membeli batu tersebut yang berharga RM700. Aku katakan aku tidak mempunyai wang. Mereka meminta aku berusaha mendapatkan wang tersebut dengan apa cara sekalipun.

Bagaikan orang bodoh aku bersetuju mengeluarkan wang di ATM bank yang terletak di kompleks tersebut. Kebetulan baki yang ada dalam bank ketika itu hanyalah RM250. Aku dengan sukarelanya bersetuju menyerahkan gelang yang aku pakai kepada kedua-dua lelaki tersebut. Mereka kemudiannya menyerahkan batu geliga yang dibalut dalam kain berwarna putih kepadaku. Aku disyaratkan tidak membuka bungkusan tersebut dalam masa 3 hari. Aku hanya mengangguk lesu.

Mereka kemudiannya berlalu pergi meninggalkan aku termangu-mangu. Aku masih terasa khayal, tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Dalam keadaan separuh khayal itu, aku mengambil teksi pulang ke rumah.

Untuk beberapa hari selepas itu, aku masih dalam keadaan keliru. Hatiku teringin memberitahu suamiku, tetapi lidah terasa kelu. Sebahagian hatiku mengatakan aku ditipu, tetapi sebahagian lagi meminta aku supaya mendiamkan perkara ini.

Selepasa 3 hari, aku membuka bungkusan kain tersebut. Alangkah terkejutnya aku, di dalam kain tersebut bukan batu geliga gelap, tetapi batu berwarna putih, entahkan batu yang dikutip di tepi sahaja. Tiba-tiba aku rasa bagaikan terbangun dari mimpi. Aku segera beristifar dan membaling batu tersebut ke dalam tong sampah. Dalam penyesalan yang amat sangat, aku segera melakukan solat taubat, meminta keampunan Allah, meminta aku dilindungi dari dugaan seperti ini lagi. Bersyukur kerana aku hanya kehilangan RM700 dan diriku tidak diapa-apakan. Aku memohon supaya aku tidak tergolong dalam golongan yang menyengutukan Allah. Ya Allah, terimalah taubatku.

No comments: