Monday, July 5, 2010

PENANG - NAKHORN SI THAMARRAT




Sebahagian maklumat yang terdapat di Muzium Nakhorn Si Thammarat

Aku perlukan catatkan ini supaya anak-anak faham kenapa mereka yang tinggal di Pulau Pinang ada hubungan dengan sekelompok masyarakat Melayu Islam di Nakhorn Si Thammarat.

Menurut golongan tua yang dirujuk, semenjak beberapa zaman dahulu, orang-orang Melayu yang berasal dari Langkawi telah berpindah ke Siam. Ada yang menetap di Phuket, Legor (kini dikenali sebagai Nakhorn Si Tammarat), Pattani dan lain-lain tempat lagi. Ada yang berhijrah secara sukarela dan ada juga yang secara paksa. Pada ketika itu, Kedah berada di bawah jajahan takluk Kerajaan Siam. Mereka berhijrah dengan membawa bersama-sama mereka budaya hidup dan agama yang dianuti, agama Islam yang suci. Satu lagi sebab kenapa orang Melayu Islam berada di Siam adalah kerana dengan penyerahan Stoi yang terletak berdekatan dengan Perlis yang dulunya merupakan sebahagian daripada Kedah (Perlis juga merupakan sebahagian daripada Kedah dulunya) kepada kerajaan Siam semasa Perjanjian Bangkok pada tahun 1909.

Sejarah perhubungan keluarga di Pulau Pinang dan Siam bermula dengan perkahwinan Rafeah iaitu anak kepada Allahyarham Haji Ismail yang merupakan keturunan Melayu Islam yang menetap di Pekan Ban Mai Telak Keak dengan Hj Ahmad (juga dikenali sebagai Tok Mamak), iaitu anak kepada Hajjah Rehmah, seorang usahawan wanita yang berasal dari Sumatera dan juga pelopor kepada pembukaan kampung Jalan Hajjah Rehmah di Jelutong, Pulau Pinang. Rafeah merupakan salah seorang daripada beberapa orang isteri Hj Ahmad. Hj Ahmad sering berkunjung ke Siam khususnya daerah Legor kerana menjalankan perniagaan pinggan mangkuk. Hj Ahmad sebelum ini telah berkahwin dengan Hajjah Kalsom yang merupakan ibu kepada Hajjah Mariam bt Ahmad (lebih dikenali sebagai Mami Mariam) dan juga pernah berkahwin dengan seorang perempuan di Gelugor tetapi tidak mempunyai anak.

Perkongsian hidup antara Hajjah Rafeah dengan Hj Ahmad telah melahirkan 6 orang anak iaitu dua lelaki dan 4 perempuan tetapi seorang daripada anak lelakinya telah meninggal dunia pada usia yang masih muda. Anak-anak yang lain adalah Shamsuddin, Sopiah, Fatimah (menetap di Kelantan), Zaleha Bee ( ibu kepada Abah) , Maimunah dan Rehmah (telah meninggal dunia).

Perhubungan antara keluarga di Pulau Pinang dengan keluarga di Nakhorn Si Thammarat dirapatkan lagi apabila Hj Ya’cub yang merupakan abang kepada Hajjah Rafeah telah mengahwinkan anaknya Hasbullah Hj Ya’cub dengan Maimunah Hj Ahmad (perkahwinan antara sepupu). Walau bagaimanapun, begitu perkahwinan ini tidak begitu disukai oleh Hajjah Rafeah atas sebab-sebab tertentu.

Anak-anak Hj Ismail terdiri daripada Hj Ya’cub, Mak Lang, Mak Ngah, Hajjah Rafeah, Chu Embun dan Chu Yet, sayangnya semuanya telah meninggal dunia. Haji Yaakub (1892 - 1971) merupakan seorang guru agama yang sangat disegani. Beliau dikenali juga sebagai Haji Yaakub Legor atau Haji Yaakub Sumali pernah mengajar agama di Masjid Muhammadi, Kota Bharu Kelantan selama 17 tahun sebelum berhijrah ke Mekah selama beberapa tahun. Sekembalinya beliau dari Mekah, Allahyarham telah membuka sekolah pondok di Legor dan turut dilantik sebagai Mufti. Beliau merupakan seorang pendakwah Islam yang sangat aktif terutamanya di Selatan Thai sehinggakan pernah

dikatakan hentakan kakinya sahaja pernah menyebabkan air keluar dari tanah semasa beliau berusaha mempertahankan orang Islam dari serangan tentera Thai (sepertimana yang tertulis dalam salah satu majalah berikut - Bicara atau Wawancara atau Hidayah). Sumbangannya dalam bidang agama dan kerjasama dengan kerajaan Siam menyebabkan gambar dan sejarah beliau diabadikan di Muzium Nakhorn Si Thammarat malah beliau merupakan satu-satunya tokoh Islam yang dipaparkan di situ.

Allahyarham Hj Yaacub mempunyai 17 orang anak (hasil perkahwinannya dengan beberapa orang isteri) yang menetap di beberapa tempat di Thailand dan Malaysia iaitu di Pulau Pinang dan Kelantan. Salah seorang daripada mereka ialah Pakcik Hasbullah yang menetap di Jelutong, Pulau Pinang setelah berkahwin dengan Maimunah.

Ibu kepada Pakcik Hasbullah berasal dari Kelantan dan menetap di Siam setelah berkahwin sehinggalah ke saat kematiannya. Antara anak Hj Ya’cub yang lain ialah aruah Hj Imran dan Haji Hasan (atau lebih dikenali sebagai Ayah Haji), iaitu saudara berlainan ibu dengan Hasbullah.

Hubungan antara keluarga di Nakhorn dengan Penang menjadi erat kerana berlakunya kunjungan antara keluarga terutamanya dari sebelah anak saudara Hasbullah iaitu dari keturunan Haji Husin (yang merupakan abang kepada Hasbullah) yang bernama Raihan Sumali. Antara anak-anak Hj Husain yang lain ialah Shakirin Sumalee, Hani, Duriah (yg kesemuanya menetap di Legor), Sokdah dan Salehin (menetap di Kelantan). Diharapkan hubungan persaudaraan ini tidak terputus malah dieratkan lagi dengan melakukan kunjungan secara berkala ke Thailand oleh generasi sekarang dan seterusnya supaya pertalian keluarga besar yang ada di kedua-dua negara ini tetap wujud dan saling berinteraksi walaupun hanya di alam siber.

Justeru itu, anak-anak harus memahami bahawa pertalian darah antara mereka dengan saudara-mara di Nakhorn Si Thammarat adalah perkongsian moyang yang sama. Aku harap mereka akan terus mempertahankan hubungan silaturrahim dengan keluraga di sana dan keluarga lain di Malaysia.

No comments: