Monday, June 21, 2010

Phangnga (6 Jun 2010)

Menikmati sarapan pagi yang enak

Perhimpunan pagi di sekolah menengah perkampungan Sumalee

Menaiki bot memasuki terowong

Pulau Anak Anjing

Di Jeti Ko Pan Yi

Sekali lagi kami diraikan oleh keluarga Sumalee dengan jamuan makan pagi yang sungguh enak. Roti yang disediakan oleh mereka sendiri dimakan bersama kuah kacang hijau (seakan-akan dalca tidak berempah, tetapi pedas dengan lada hitam dan sambal) dan gulai daging. Ada juga kuih seakan-akan cucur badak dibentuk seperti donut serta nasi kerabu. Sambil makan sempat lagi kaum ibu bertanya resipi kepada tuan rumah.

Seterusnya kami menyaksikan aktiviti persekolahan pada pagi itu. Padang perhimpunannya terletak di hadapan salah sebuah rumah keluarga Sumalee. Hari ini ada perhimpunan. Semua pelajar duduk di atas padang mendengar taklimat guru. Sebahagian besar ahli keluarga Sumalee mencurahkan bakti di sekolah tersebut samada sebagai tenaga pengajar ataupun bertugas di bahagian pentadbiran.

Tepat pukul 10 pagi kami bertolak dari Nakhorn dengan disertai oleh Saudara Raihan Sumalee, isteri beliau Fauziah dan anak saudaranya, Rodin. Sebahagian anggota rombongan menaiki SUV beliau dan meninggalkan kereta Pak Usu di Nakhorn. Memandangkan kami akan kembali ke Nakhorn selepas ini, aku meninggalkan baju-baju kotor di rumah Raihan. Barulah mudah untuk bergerak apabila beg semakin ringan.

Perjalanan kali ini sejauh 250 km melalui jalan yang agak sempit dan berbukit-bukau. Kakngah terpaksa makan ubat menahan muntah dan berpindah ke tempat duduk hadapan. Kesian Kakngah, dia ada masalah mabuk perjalanan. Kami berhenti di beberapa tempat untuk makan tengah hari, mengisi minyak dan ke tandas.

Pukul 2.30 petang kami tiba ke Jeti Phangnga Bay. Dengan bayaran 2,300 Bath, kami seramai 17 orang menaiki bot untuk menikmati keindahan Ao Phangnga National Park. Sepanjang perjalanan kami terpegun melihat keindahan alam ciptaan Allah Yang Maha Kuasa. Cantik sungguh pulau-pulau batu kapur yang tersusun di perairan Laut Andaman. Hujan renyai-renyai agak menyukarkan kami mendapatkan gambar-gambar yang cantik. Lebih menarik kami juga lalu berhampiran James Bond's Island, pulau yang dipilih sebagai lokasi filem James Bond bertajuk "The man with the golden gun" (1974). Kami juga menaiki bot masuk di bawah terowong yang cantik. Ramai pelancong berkayak di kawasan ini.

Kebanyakan pulau batu kapur ini mempunyai pelbagai bentuk yang menarik seperti Pulau Anjing, Pulau Paku (Ko Tapu) dan lain-lain pulau yang terletak berhampiran satu sama lain. Kedudukan rapat pulau-pulau ini melindungi kawasan ini dari laut bergelora besar.

Kami seterusnya mendarat di Ko Pan Yi, sebuah penempatan terapung yang didiami oleh majoriti penduduk Muslim. Difahamkan tanah yang terdapat di pulau ini dikhaskan sebagai tanah perkuburan sahaja. Kami kemudiannya menunaikan solat di Masjid Ko Pan Yi. Ketika ini hujan turun dengan lebat sekali. Di sini kebanyakan penduduk merupakan nelayan dan barangan hasil laut seperti belacan, ikan kering, karangan laut, mutiara dan cenderamata dijual di gerai-gerai yang didirikan di hadapan rumah terapung mereka.

Semasa perjalanan pulang ke jeti, kami sekali lagi dibawa melintasi pulau-pulau cantik tersebut. Pada pukul 6 petang kami bertolak untuk ke Phuket yang terletak kira-kira 130 km dari Phangnga. Sepanjang perjalanan hujan renyai-renyai terus turun. Kami tiba di Phuket pada pukul 7.30 malam dan check-in di Toh Loon Hotel berhampiran Patong Beach. Hotel ini dimiliki oleh keluarga Tok Harun, penduduk Muslim Phuket. Setelah membersihkan diri dan solat, kami makan malam di sebuah kedai makan berhampiran Masjid di Phra Barami Road. Di sini kami bertegur-sapa dengan beberapa pengunjung dari Batu Gajah yang singgah makan di sini.

Selesai makan kami menyusuri bandar Phuket yang sungguh meriah di waktu malam. Lampu-lampu neon berwarna-warni berkerlipan. Di kiri-kanan jalan kelihatan wanita-wanita muda (termasuk juga pondan) merayu pelancong untuk singgah menjalani khidmat berurut. Setiap pusat urut mempunyai uniform masing-masing, bermacam fesyen dan warna.

Pelancong bebas bergerak ke sana-sini. Seketika kita lupa bahawa kota Bangkok baru sahaja melalui krisis politik dalam negeri yang serius dan meragut belasan nyawa. Di sini semuanya kelihatan aman damai, pelancong tidak merasa terancam. Penduduk Islam bebas bergaul dengan saudara mereka beragama Budha atau Kristian.

Setelah puas menjamu mata, kami kembali ke hotel untuk merehatkan diri bagi perjalanan seterusnya esuk hari.

No comments: