Wednesday, February 17, 2010

Semoga Ini Haji Yang Mabrur (15 Februari 2003)

Malam ini, 14 Zuhijjah, kami akan menyelesaikan semua rukun haji yang masih belum dilaksanakan. Selepas solat Isya', kami bergegas balik ke hotel untuk makan malam dan membersihkan diri. Dengan lafaz bismillah, pada pukul 11 malam, kami melanggah ke Masjidil Haram untuk melakukan Tawaf Haji dan Saie Haji. Di hadapan Kaabah, kami berdoa agar dipermudahkan niat kami untuk melakukan ibadah ini. Hanya aku dan Abah melakukan ibadah ini kerana kedua-dua iparku sedang uzur syarie.

Allah memperkenankan doa kami, kami dipermudahkan untuk melakukan tawaf ini.. Memang jumlah jemaah begitu ramai dan berasak-asak di tempat permulaan tawaf. Walau bagaimanapun, untuk pusingan yang seterusnya ianya berjalan lancar.

Dugaan Allah tiba semasa aku sedang tawaf pusingan kelima apabila wudhu' ku terbatal. Terpaksa kami menberhentikan tawaf dan bergerak ke bahagian tepi laman Kaabah. Aku bergegas ke tempat wanita dan mengambil semula wudhu' sambil memohon kepada Allah agar dikekalkan aku dalam wudhu' sehingga selesai aku melakukan ibadah malam ini.

Kami memulakan semula tawaf bagi pusingan ke-5 hingga selesai pusingan ke-7. Selepas itu kami cuba untuk melakukan solat sunat di hadapan Maqam Ibrahim tetapi tidak berjaya kerana tidak dibenarkan oleh pengawal masjid. Mungkin tindakan bersolat di ruang tersebut boleh mengganggu kelancaran jemaah lain yang sedang mengerjakan tawaf. Tetapi pengawal ini kadang-kadang bertindak agak kasar. Aku perhatikan beberapa jemaah yang degil ditarik atau dipukul dengan sejadah. Kami memutuskan untuk bersembahyang sunat di kawasan yang telah disediakan. Semasa sujud aku, aku berdoa dalam hati dengan penuh rasa rendah diri dan menangis dengan penuh keinsafan, memohon Allah mengampunkan dosaku, menerima ibadahku, memberkati kehidupanku dan melindungi hidup dan matiku dengan cahaya iman.

Seterusnya kami bergerak ke kawasan Saie. Seperti juga ibadah tawaf tadi, kawasan permulaan Saie agak sesak. Walau bagaimanapun, perjalanan agak lancar selepas itu. Cuma agak berebut-rebut di bahagian batu-batu bukit Safa dan Marwah kerana kebanyakan jemaah agak berlama-lama berdiri di kawasan yang sempit itu dan mengganggu pergerakan jemaah lain. Aku hampir-hampir tergelincir kerana stokin ku agak licin.

Akhirnya selesai kami melakukan Saie haji 7 kali berulang-alik antara Safa dan Marwah. Selesai ibadah ini kami, kami pun melakukan Tahalul Thani dengan menggunting 3 helai rambut sebagai tanda selesailah sudah ibadah haji kami. Dengan ini, terlepaslah kami dari semua larangan ihram yang dikenakan semenjak 2 minggu lepas.

Semua ibadah di atas kami selesaikan dalam tempoh 3 jam. Keadaan yang bersesak-sesak serta niat kami untuk melakukan ibadah ini tanpa tergesa-gesa dan dilaksanakan sesempurna yang mungkin menyebabkan kami mengambil masa yang lama untuk menyelesaikannya. Sesudah selesai semua ibadah ini, baru aku terasa lelah. Memang benar kata teman-teman yang pernah mengerjakan haji sebelum kami, ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal untuk merasakan kepuasan menjalankan ibadah dengan sempurna. Kami meneguk air zamzam sepuas-puasnya sambil mengucapkan syukur kepada kemudahan yang Allah kurniakan kepada kami. Pukul 3 pagi kami bergerak kembali ke Hotel Ajyad untuk membersihkan diri sebelum kembali ke Masjidil Haram untuk solat Subuh.

Semoga ibadah yang telah kami lakukan semata-mata kerana Allah ini, sebagai tanda ketaatan kami kepada perintahMu Ya Allah, Engkau terima sepenuhnya dan Engkau angkat sebagai Haji yang Mabrur. Ameeenn.

No comments: