Thursday, December 3, 2009

Aku Berserah Kepada Mu Ya Allah (10 Februari 2003)

Arafah di waktu pagi

9 Februari 2003 genap 9 hari kami berada di Shisha. Tepat jam 11.00 malam, 16 buah bas di bawah kumpulan JT bertolak ke Arafah. Sepanjang perjalanan lidah kami tidak berhenti bertalbiah "hamba Mu datang menyahut panggilan Mu, Ya Allah. hamba Mu datang menyahut panggilan Mu. Yang tiada sekutu bagi Mu. Hamba Mu datang menyahut panggilan Mu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan Mu, tidak ada sekutu bagi Mu".

Walaupun jarak antara Shisha dengan Arafah tidaklah begitu jauh, kami hanya tiba di Arafah pada jam 12.30 malam. Kami disambut oleh dua lelaki Arab yang menuangkan air zamzam ke dalam cawan sambil mengucapkan selamat datang. Seterusnya kami dibawa ke khemah untuk berehat. Khemah kami agak selesa ditutupi hamparan. Setiap jemaah disediakan tilam, bantal dan selimut. Alat hawa dingin terpasang di beberapa sudut khemah berkenaan. Aku menghabiskan malam tersebut dengan membaca Al Quran dan berzikir. Mataku tidak mengantuk langsung.

Tepat pukul 4 pagi kami mula mengadakan majlis Qiamullail dengan dipimpin oleh Ustaz TM Fouzy. Selesai Qiamullail, kami berzikir, bertasbih dan bertalbiah sehinggalah masuk waktu Subuh. Alangkah nikmatnya solat Subuh tersebut...walaupun disekelilingku penuh jemaah, aku merasakan suasana hening sekali. Airmataku tak henti mengalir, tanpa aku tahu sebabnya. Mungkin rasa tenang ini begitu menyentuh hati.

Selesai solat Suboh aku dan Abah berjalan-jalan di persekitaran khemah kami. Udara pagi dingin sekali. Aku perhatikan di sekeliling kawasan Arafah adalah bukit-bukit batu. Di sekitar kawasan khemah pula banyak pokok-pokok rendang yang ditanam secara teratur untuk menyejukkan pemandangan dan meneduhkan para jemaah.

Kami seterusnya menyucikan diri untuk mengerjakan ibadah wukuf. Aku tidak perlu menunggu lama kerana kemudahan tandas yang agak banyak. Aku cuma mengelap tubuh dengan tuala yang basah, tidak berani untuk mandi. Bimbang aku demam sekiranya mandi dalam keadaan cuaca dingin-panas begini. Kami semua disarankan memakai pakaian putih yang baru untuk mengerjakan ibadah wukuf ini.

Pada jam 11.30 pagi semua jemaah siap berkumpul di khemah yang dikhaskan untuk jemaah kumpulan JT. Dugaan Allah datang sekali lagi. Tiba-tiba sahaja bekalan elektrik terputus. Kami semua kepanasan dalam terik bahang matahari yang menyelubungi bumi Arafah walaupun berada di bawah khemah. Ustaz meminta kami teruskan berzikir, bertalbiah, berselawat, beristifar dan berdoa semoga ibadah kami dipermudahkan. Bekalan elektrik pulih kembali kira-kira 40 minit kemudian.

Tepat jam 12.35 tengah hari masuklah waktu zohor dan waktu wukuf. Ustaz TM Fouzi menyampaikan khutbah Arafah. Kami semua berdoa merendah diri memohon keampunan Allah, meminta dibersihkan diri kami dari dosa-dosa lalu, memohon keampunan kepada ibu-bapa kami, memohon kemulian untuk ibu-bapa dan guru-guru, anak-anak, saudara mara dan sahabat handai. Doa yang dibaca amat meruntun hati. Banyak airmata yang tumpah mengenangkan dosa-dosa silam, kealpaan menunaikan perintah Allah, dosa sesama manusia dan sebagainya. Aku dan jemaah lain tanpa segan-silu merintih dan merayu keampunan Allah. Dalam sedu-sedan kami menyerahkan diri kepada Allah untuk menerima amalan kami, memberi kami petunjuk ke arah jalan kebenaran, menjauhkan kami dari kemungkaran. Selesai khutbah Arafah, kami menunaikan solat secara berjemaah.

Selepas waktu Asar, kami sekali lagi berkumpul di kawasan lapang Arafah. Sekali lagi kami berdoa beramai-ramai memohon keampunan Allah, kami yakin Allah sentiasa menerima doa hamba Nya semasa berwukuf. Kami memohon Allah menerima ibadah haji yang kami lakukan dengan penuh tawaduk ini. Kami berserah sepenuhnya kepada keredhaan Allah Yang Maha Esa.

No comments: